Thursday, May 29, 2008

Haru

Dia keluar membawa rungutan perasaan yang tak terucap pedihnya megatur langkah yang tidak terencana. Punggaian kata-kata yang terpahat di benak perasaannya amat sukar dicungkil buang. Kata-kata herdik, celaan, kesat dan berdentum bagai bunyi petir sering terulang-ulang dalam benak perasaannya. Cukup berat untuk dipikul, cukup payah nak diheret menjadi beban yang amat berat.

" Awak pemalas !, mementingkan orang lain daripada keluarga sendiri, !, tak pandai ambil hati!, tak macam akh amru, awak macam tak sayangkan saya, menyesal kawin dengan awak, semua orang sayangkan saya kecuali awak, kalau saya tahu begini jadinya awak saya tidak akan terima awak, kalaulah saya mendengar rasa hati saya kita takkan berkahwin dengan awak, pergi !, saya tidak akan menyayangi awak sampai bila-bila..."

Dia merasa tidak diperlukan. Satu demi satu wajah anak-anaknya timbul dalam cermin memori diselaminya dalam-dalam untuk mencari apakah jua di sana tidak ada kasih mereka untuknya atau itu hanya bayangan amarah yang wujud imbasan kata-kata itu.

Dia memang tidak mampu berkata apa-apa, yang dia tahu itu semua tuduhan, tidak benar belaka dan dia tidak boleh dibandingkan dengan sesiapa kerana perbandingan itu tidak langsung sekufu dengan keadaan dirinya, sejarahnya, hati dan perasaannya. Hatinya bagai ditikam sembilu, dihiris-hiris, tercalar, luka dan berdarah. Lebam-lebam akibat tusukan lidah tidak bertulang sudah membengkak, membusung dan menekan parau-parunya menjadikan nafasnya tersekat.

Setiap kali dia melangkah hatinya tidak henti-henti menyatakan istighfar menangkis lintasan halus di dalam dadanya yang selalu merayunya agar melepaskan ikatan janji pernikahannya dengan pemilik lidah tidak bertulang itu dan hatinya berbisik kepada jiwanya: " Ahh aku yang memilihnya, aku yang telah menerima dirinya seadanya.."

Sudah jauh dia melangkah sehingga tiba di kaki sahara. Kelihatan rumah-rumah usang yang dibina daripada tanah liat sahara. Kanak-kanak berlari bermain tanpa menghirau debu-debu pasir yang berterbangan, kejar mengejar dicelah-celah pohon kurma. Sesekali mereka menolak kaldai-kaldai yang sedang memamah jerami kering. Matahari sudah condong jauh keufuk barat. Angin yang tadinya berbahang sudah mula bertukar suhunya menjadi nyaman.

Dia tidak melangkah lagi, kakinya terasa kejang kepenatan . Di bawah pepohon kurma beralaskan pasir debu dia meletakkan kepalanya dan memejamkan matanya dan terus terlena.